fawwaz

Sunday 31 July 2011

pengurusan jenazah

TAJUK
Pengurusan Jenazah

DISEDIAKAN OLEH
Noor Adi Fawwaz bin Jamaludin
2010301939
ASD2Ag

DISEDIAKAN UNTUK
Ustaz Abdul Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU151 ASD2Ag

PROGRAM
Diploma Kimia Perindustrian
AS115

TARIKH SERAH
8hb Ogos 2011

TARIKH BENTANG
8hb Ogos 2011


ISI KANDUNGAN
ABSTRAK
PENDAHULUAN
DALIL
SESI TEMURAMAH
PENGALAMAN
PENUTUP
BIBLIOGRAFI

ABSTRAK

Bismillahirrahmanirrahim...

Kematian adalah sesuatu yang pasti bagi setiap makhluk yang bernyawa dan kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini haruslah bersedia kerana ianya titik permulaan kepada titik penghidupan yang kekal abadi. mukmin yang bertaqwa dan soleh akan memperoleh kejayaan dan keistimewaan di sisi Allah kelak sepertimana yang telah dijanjikan oleh Allah. Firman Allah S.W.T dalam surah Yunus ayat 49 yang bermaksud:

“bagi setiap umat ada tempoh (ajal) yang ditetapkan; maka apabila tiba tempohnya, mereka tidak dapat melambatkan sesaatpun, dan juga tidak dapat mereka menyegerakan”.
Walaupun jenazah tidak bernyawa,namun dalam Islam jenazah haruslah diuruskan dengan sempurna dan mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan syariat Islam.Dari sudut psikologi, persiapan tersebut adalahh perlu bagi menghadap Allah Yang Maha Esa seperti insan-insan yang berpakaian segak bagi menghadapi temuduga. Namun harus diingatkan bahawa di  akhirat kelak kita akan berhadapan dengan pencipta alam semesta yakni Allah S.W.T.

PENDAHULUAN

Pengurusan jenazah adalah sesuatu perkara yang tidak boleh dipandang remeh dan tidak boleh dielakkan sewenang-wenangnya. Ianya merupakan sesuatu tuntutan fardhu kifayah ke atas umat Islam. Ini bererti sebahagian umat Islam perlu tahu dan mengambil tanggungjawab itu. Jika di suatu kawasan tidak adaorang yang menguruskan jenazah, semua umat Islam di kawasan tersebut berdosa. Ia seolah-olah mereka tidak sedar dan bersyukur apakah matlamat mereka di muka bumi ini.

Secara analogi, bayangkan jika ibu atau bapa kita yang meninggal dunia, tergamakkah kita membiarkan orang lain menguruskan darah daging kita sedangkan kita lagi layak menggalas tanggungjawab tersebut? Seharusnya kita sebagai ahli keluarga dan yang lebih penting,kita umat Islam haruslah mengetahui cara-cara menguruskan jenazah walaupun kita bukan tok imam, bilal atau siak.

DALIL

Dalil mengenai pengurusan jenazah diambil secara umum berdasarkan hadith Abu Hurairah Radhiallahu'anhu bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya:

 "Bersegeralah kamu dengan (pengurusan) jenazah".
                                                                                                                        Hadith Riwayat Muslim

Mengenai solat jenazah pula, perkara ini dapat dijelaskan berdasarkan hadith daripada Aisyah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya:

"Tidak ada satu mayat yang disembahyangkan ke atas nya oleh sekumpulan muslimin yang mencapai bilangannya seratus orang, kesemuanya memohon syafaat baginya (mayat) melainkan diterima syafaat mereka itu pada mayat tersebut."
                                                                                                                        Hadith Riwayat Muslim

dan hadith daripada Ibnu Abbas bahawa beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya:

"Tiada seorang muslim yang meninggal dunia lalu disembahyangkan ke atas jenazahnya oleh empat puluh orang lelaki yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu melainkan Allah menerima syafaat mereka itu pada mayat tersebut."
                                                                                                                        Hadith Riwayat Muslim

dalil-dalil ini telah menyokong bahawa pengurusan jenazah haruslah dipercepatkan dan harus mengikut syarat-syarat dan lunas-lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.

SESI TEMURAMAH
Cuti pertengahan semester yang lepas telah memberi kesempatan kepada saya untuk bertemu dengan seorang yang selalu menggalas tanggungjawab sebagai insan yang kerap menguruskan jenazah di Kg Majapahit, Pendang dan sekitar Guar Kepayang. Beliau juga merupakan orang yang membantu ahli keluarga saya menguruskan arwah datuk dan ayah saudara saya. Beliau ialah Abdul Rahman bin Ismail atau lebih dikenali sebagai Tok Long Man di kalangan penduduk setempat. Beliau merupakan bilal di Surau Kg Majapahit dan selalu di undang untuk mengajar fardhu ain dan kelas Al-Quran di kawasan-kawasan berdekatan. Pertemuan selama sejam setengah banyak mengajar saya betapa penting nya ilmu fardhu kifayah secara umumnya. Spesifikasinya, cara menguruskan jenazah dan pengalaman-pengalaman beliau yang telah berkecimpung dalam hal ini sejak tahun 1994. Kesempatan selepas solat Isyak saya gunakan sebaik mungkin untuk mendapat input yang berguna.

Menurut Tok Long Man, secara kasarnya dalam pengurusan jenazah yang wajib kita kerjakan adalah mandikan jenazah, kafankan jenazah, solat dan kebumikan jenazah. Dalam pengurusan jenazah, ianya lebih afdhal untuk insan dari kalangan keluarganya atau warisnya yang terdekat seperti anak atau muhrim yang berkait dengan si mati. Tetapi menurut beliau, jika warisnya tdak ada ilmu yang mendalam atau pengalaman tentang pengurusan jenazah, ahli keluarga boleh meminta imam atau bilal atau qari yang terdekat untuk menguruskan jenazah.

Kata beliau lagi, seorang yang ingin menguruskan jenazah bukan sahaja harus mempunyai kemahiran dan ilmu yang cukup dalam hal pengurusan jenazah, namun individu tersebut haruslah mempunyai sifat berani, sabar, amanah dan bertanggungjawab. Tidak semua mampu, sanggup atau mempunyai pengetahuan atau juga tidak berani untuk menguruskan jenazah. Ini kerana terdapat beberapa perkara yang tidak diingini berlaku waktu menguruskan jenazah. Beliau sempat memberitahu saya bahawa menguruskan jenazah banyak memberi fadhilat dan kesan baik contohnya memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita bahawa insan bernyawa di muka bumi Allah ini lemah dan tidak mempunyai kuasa dan kekuatan untuk menyembuhkan penyakit jika tidak diizinkan Allah. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 117 bermaksud:

“ Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendakkan sesuatu, maka Dia hanya menyatakan kepadanya: “jadilah!” lalu jadilah ia.”

Maksudnya jika Allah tidak memperkenankan apa yang kita lakukan,ianya tidak akan menjadi. Oleh itu umat yang diuji haruslah bersabar dan redha di atas dugaan Allah dan berusaha untuk ikhtiar kerana setiap usaha itu ada hasilnya. Nabi Allah Muhammad S.A.W pernah bersabda

 ‘ Tiap-tiap penyakit ada ubatnya kecuali mati’.

 Apabila terdetik hati kita untuk mendalami ilmu pengurusan jenazah, Allah ingin menguji hamba yang dikehendaki-Nya sejauh mana kesabaran individu tersebut bagi menghadapi dugaan Allah S.W.T. Peluang tersebut juga merupakan salah satu cara Allah mengampunkan dosa yang telah kita lakukan sama ada secara sedar atau tidak. Tambahan pula, kita juga akan sentiasa mengingati mati dan kesannya akan memberi impak positif yang mana kita akan berusaha untuk mengumpulkan sebanyak mana amalan untuk berhadapan Allah di Padang Masyar kelak.

Banyak perkara yang diterangkan Tok Long tentang perjalanan yang berlaku sepanjang menguruskan jenazah. Beliau mengatakan tugas yang besar adalah dikalangan ahli keluarga arwah. Mereka haruslah mendapatkan pengesahan dari balai polis atau di hospital bahawa arwah sudah betul-betul meninggal dunia dan bagi mengelakkan perkara seperti arwah belum meninggal, si mati merupakan orang bukan Islam dan sebagainya. Waris juga perlu menentukan imam,bilal atau siak untuk memandikan jenazah dan mengimamkan jenazah. Selain itu, urusan menggali kubur juga perlu dititik beratkan.

Antara barang keperluan yang perlu disediakan bagi memandikan jenazah adalah seperti tempat mandika jenazah, sabun mandi, air daun bidara, air bersih, 7 batang sugi, sedikit kapas, air kapur barus dan baldi atau gayung. Jika jenazah merupakan seorang pesakit AIDS, HIV, atau penyakit-penyakit yang merebak melalui darah, orang yang memandikan jenazah disarankan untuk memakai sarung tangan dan memakai pakaian khas bagi mengelakkan jangkitan berlaku. Pembasmi kuman juga perlu digunakan untuk membilas badan jenazah, dan jika pembasmi kuman susah untuk didapati, boleh digantikan dengan Clorox atau klorin.

Bagi proses mengapankan jenazah, Tok Long turut menyenaraikan beberapa peralatan yang perlu digunakan seperti kain kapan, gunting, kapas, cendana, kapur barus, air mawar, minyak wangi yang tidak beralkohol seperti minyak attar, tikar jerami atau mengkuang, bantal (seelok-eloknya dari daun pandan).
Sebelum diteruskan perbincangan, saya sempat bertanyakan kepada Tok Long kenapa jenazah harus disegerakan pengurusannya?Tok Long menjawab bahawa ianya mencepatkan kebaikan jenazah kerana jenazah akan melangkah ke satu alam yang lain dan nyata. Beliau berkata jika jenazah tidak di uruskan atau tidak sempurna pengurusannya, maka ahli keluarga arwah dalam keadaan berdosa selagi jenazah tidak di uruskan dengan mengikut lunas-lunas Islam. Dari sudur sains pula, mikroorganisma dan bakteri-bakteria dalam badan manusia akan mempercepatkan pereputan. Dan bagi melambatkan pereputan tersebut, tubuh manusia haruslah dikebumikan di dalam tanah.

PENGALAMAN
Di perjumpaan singkat sejam setengah itu, Tok Long Man sempat bercerita dua kisah yang berbeza tetapi cukup untuk menimbulkan rasa insaf dalam hati. Kejadian pertama berlaku kira-kira pada tahun 2001 dan berlaku di sebuah kampung di dalam kawasan Guar Kepayang. Tok Long diberitahu bahawa jenazah meninggal dunia kerana sakit jantung pada umur lingkungan 60 tahun. Sudah menjadi kelaziman Tok Long untuk membawa kain kapan sepanjang 24 ela sebagai persediaan untuk mengafankan jenazah tidak kira arwah pendek, tinggi, gemuk atau kurus. Sebelum memandikan jenazah, Tok Long akan memotong kain kapan dahulu sebanyak 3 keping. Panjangnya akan mengikut ukuran ketinggian arwah dan di tambah satu hasta di huujung kepala dan satu hasta di hujung kaki. Ini bertujuan untuk mengikat atas kepala arwah dah hujung kaki arwah selepas selesa mandikan jenazah. Dengan bantuan Pak ‘Ad yang juga merupakan siak surau Kg Majapahit, semua perkakas yang diperlukan disusun dan jenazah mula di mandikan.

 Pada awal arwah di mandikan, tidak ada sebarang keanehan berlaku cuma muka arwah agak kekuningan. Namun ketika ingin megeluarkan najis yang ada, timbul satu persoalan yang mana najis arwah tidak berhenti-henti keluar. Semakin di korek makin banyak najis yang keluar. Kebiasaannnya, tidak sampai setengah jam, najis sudah berhenti keluar tetapi empat puluh lima minit berlalu, najis masih belum berhenti keluar. Akhirnya, tugas memandikan jenazah selesai selepas lebih dua jam, tidak seperti kebiasaan tugas memandikan jenazah hanya mengambil masa dalam lingkungan satu hingga satu setengah jam.

Apabila selesai,waris-waris jenazah turut mengambil peluang untuk memindahkan jenazah ke ruang tamu rumah yang di penuhi ahli keluarga dan sahabat handai untuk di kapankan. Sebaik sahaja jenazah diletakkan ke atas kain kapan, beliau dan pembantunya sedikit terkejut apabila mendapati kain kapan yang telah disediakan sebentar tadi tidak muat dengan jenazah. Baki kain kapan di hujung kepala dan hujung kaki jenazah hanya tinggal satu jari sahaja sedangkan sepatutnya ia berlebihan sebanyak satu hasta di hujung kepala dan satu hasta di hujung kaki. Tok Long dan Pak ‘Ad bertanya sesama mereka adakah benar ukuran yang mereka ukur tadi benar atau tidak. Mereka benar-benar bingung dan dan berkerut kehairanan bila mendapati kain kapan yang disediakan tidak muat. Pak ‘Ad sendiri menyaksikan dan membantu Tok Long menyiapkan kain kapan untuk jenazah. Tok Long menyatakan bahawa mereka telah bertahun-tahun melakukan pengurusan jenazah sebelum kejadian itu berlaku. Bukan untuk meninggi diri tapi untuk menyatakan yang mereka telah banyak kali menguruskan jenazah dan tidak pernah berlaku kesilapan sebelum ini. Mereka mengukur dahulu kain kapan yang dibekalkan cukup dua puluh empat ela sebelum memotong. Ramai ahli keluarga dan sahabat handai turut menyaksikan mereka memotong kain kapan tersebut.

Tok Long sempat menelefon pembekal kain kapan tersebut untuk mengesahkan ukuran kain kapan yang dibekalkan, dan ukurannya tetap sama seperti biasa. Cukup mustahil kejadian seperti itu boleh berlaku namun semuanya atas ketentuan Allah S.W.T. Pada ketika itu, ramai orang sudah berfikir dan berkata bukan-bukan tentang arwah. Dan semua terdiam apabila imam yang akan mengimamkan solat jenazah berpesan “Jangan cakap bukan-bukan tentang arwah,hari kita nanti siapa tahu”. Untuk meneruskan urusan tersebut, mereka terpaksa menggunakan lebihan-lebihan kain yang dipotong sebentar tadi. Walau bagaimanapun, mereka sekali lagi dikejutkan dengan perkara yang tidak diingini sekali lagi. Kain kapan yang yang mereka sediakan tidak cukup untuk membungkus mayat arwah. Selalunya kain kapan yang mereka sediakan cukup untuk menutup tubuh arwah hingga ke bahagian tepi. Mereka cuba sedaya upaya menarik kain kapan tersebut untuk menutup bahagian tepi tubuh arwah, namun usaha mereka gagal. Bagi mengatasi masalah tersebut, mereka menggunakan kapas untuk menutup bahagian yang ternganga sebelum mengikatnya kemas-kemas.

Selesai kerja-kerja mengapan jenazah, arwah disembahyangkan dan diiring ke tanah perkuburan menggunakan van surau. Sudah menjadi kelaziman bagi Tok Long dan Pak ‘Ad untuk turut serta mengiringi jenazah ke tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir kepada si arwah. Alhamdulillah tiada kejadian yang tidak baik berlaku sepanjang perjalanan.

Setiba sampai di Tanah Perkuburan Guar Kepayang, satu lagi keanehan berlaku yang benar-benar memberi keinsafan kepada sesiapa yang hadir ketika itu. Ketika jenazah diturunkan, liang lahad yang disediakan didapati tidak cukup panjang dan menyebabkan bahagian kaki jenazah sedikit bengkok. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, jenazah terpaksa dikeluarkan balik dan digali semula liang agar sedikit besar dari yang awal. Kejadian yang sama berlaku ketika jenazah diturunkan buat kali kedua. Bukan sahaja si penggali kubur yang hadir bingung namun semua yang hadir ketika itu turut runsing kenapa liang yang digali semula lebih empat kaki masih tidak boleh ‘didiami’ jenazah. Buat kali ketiga, jenazah dinaikkan dan liang digali lebih besar.

Apabila selesai kerja-kerja penggalian,jenazah diturunkan dengan harapan liang tersebut ‘muat’ dengan jenazah. Alhamdulillah, jenazah selamat dikebumikan walaupun banyak halangan yang menimpa. Dari cerita-cerita orang kampung, arwah dikatakan seorang yang mempunyai tabiat buruk iaitu suka mengumpat dan mengata orang. Tok Long sempat berpesan bahawa apa yang kita lakukan di dunia ada balasan-balasannya tersendiri. Kejadian yang berlaku adalah petunjuk untuk menyedarkan masyarakat sekeliling dari Allah S.W.T. tentang akibat mensia-siakan peluang hidup di muka bumi Allah ini.    

Tidak lama selepas itu, selang beberapa bulan kemudian Tok Long sekali lagi di jemput untuk menguruskan seorang jenazah yang meninggal akibat darah tinggi. Si mati adalah seorang yang bertubuh besar dan berumur sekitar 50-an. Seperti biasa ditemani Pak ‘Ad, mereka memotong kain kapan seperti ukuran yang biasa pernah mereka lalukan. Namun kebimbangan tetap ada selepas kejadian beberapa bulan lepas. Tok Long mengatakan bahawa wajah muka si mati tenang dan jernih.  Mereka tidak menghadapi sebarang masalah ketika memandikan jenazah kerana badan arwah seolah-olah ringan walaupun arwah seorang yang berbadan besar. Kesan najis juga tidak kelihatan walaupun sudah ditekan dan dikorek. Tok Long berkata bahawa badan arwah seolah-olah dirinya telah dibersihkan sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Proses memandikan jenazah tidak mengambil masa yang lama dan siap dalam tempoh tidak kurang dari sejam.

Terdapat juga kebimbangan peristiwa kain kapan tidak muat berulang lagi sedangkan arwah yang kecil pun tidak muat inikan pula arwah yang berbadan besar. Dan kerja mengapankan jenazah juga berjalan lancar tanpa sebarang cacat cela. Mereka seronok menguruskan jenazah tersebut. Selesai mengapankan jenazah, jenazah di sembahyangkan di surau ekoran ramai hadirin yang datang. Jenazah akhirnya dibawa ke tanah perkuburan yang sama (Tanah Perkuburan Guar Kepayang) dan selamat dikebumikan tanpa sebarang halangan. Arwah memang dikenali sebagai seorang yang kuat beribadat. Arwah juga merupakan seorang yang suka bersedekah dan menolong orang lain. Ternyata segala perbuatan arwah di dunia dilapangkan segala urusan pengkebumiannya.

PENUTUP
Ternyata kerja kursus ini memberi peluang dan membuka minda saya terhadap kerja-kerja menguruskan jenazah. Sedikit sebanyak dapat memberi input yang positif dan nasihat yang berguna kepada semua.
Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Maidah ayat 2:

“Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakann) kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan melampaui batas; dan bertaqwalah kepada Allah”.     

BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman bin Ismail, Kg Majapahit

Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Abani, Hukum dan Tatacara Mengurus Jenazah-menurut Al-Quran dan Al-Sunnah

Noresah Baharom, d (1994). Kamus Dewan Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

http://dzulnain.tripod.com/syumul/jenazah/jenazah.htm

http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2009/bil316


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home